Labels

HUBUNGI SAYA

KUIZ TENTANG KENALI JENIS-JENIS EMOSI

 https://wordwall.net/resource/61248277

APA ITU KEMURUNGAN?

 

Apa itu kemurungan?

Menurut sumber dari Dr. Sakinah Salleh (tahun 2020) Kemurungan adalah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih berpanjangan, keletihan, dan kehilangan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Keadaan ini boleh berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu ataupun mengambil masa sehingga berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun. Penyakit ini juga boleh didatangani oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur jantina ataupun bangsa. Penyakit kemurungan dikategorikan sebagai penyakit mental yang banyak berlaku kepada kita. Malangnya ramai yang tidak mengetahui implikasi penyakit ini akibat kurangnya pendedahan dan tidak dirawat dari awal. Akhirnya penyakit menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi.

Hampir semua pesakit ini mengalami gejala kemurungan dan rendah diri serta hilang minat terhadap sesuatu aktiviti yang sebelum ini digemari oleh mereka.

Bagi pesakit yang mengalami kemurungan, meluahkan apa yang terbuku di hati mungkin jalan terbaik bagi melegakan perasaan ataupun emosi. Apa yang diperlukan bukan sahaja bertemu dengan doctor ataupun pakar berkenaan, tetapi pesakit juga perlu berkomunikasi atau menyampaikan perasaan mereka kepada orang yang tersayang. Komunikasi yang baik adalah terapi yang amat penting bagi membantu pesakit untuk pulih.

Sesetengah masyarakat berpendapat masalah kemurungan ini adalah penyakit yang berpunca daripada minda tetapi kemurungan juga disebabkan tekanan hidup yang bercampur daripada aspek emosi sehingga menghimpit kehidupan tanpa ada jalan penyelesaian. Pesakit yang mengalami masalah kemurungan sering kali mengalami perasaan sedih, rasa cemas, mudah marah, rasa rendah diri yang ketara, rasa bersalah tidak bertempat, rasa tidak berupaya dan gelisah. Mereka juga sukar menumpukan perhatian dan mengingati maklumat ataupun sukar membuat keputusan. Pesakit juga mungkin menyisihkan diri daripada masyarakat, keluarga ataupun rakan. Ada kemungkinan juga wujud perasaan mahu ataupun cubaan membunuh diri.

 Penyakit kemurungan sudah menjadi istilah yang sebati dalam kalangan masyarakat ketika ini. Namun, tiada siapa tahu kesengsaraan di sebalik penyakit ini jika tidak pernah mengalaminya. bahkan stigma atau tanggapan negatif masyarakat terhadap penyakit ini dilihat masih pada tahap yang sama. Walhal masalah kemurungan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira status seseorang itu. Malah boleh berlaku kepada orang di sekeliling tanpa kita ketahui.

 

Beza kemurungan dan tekanan.

 Adakah kemurungan sama dengan tekanan? Ramai yang keliru dan menganggap kemurungan sama sahaja dengan stress. Ada segelintir individu sering mengaku beliau menghadapi kemurungan walaupun sebenarnya itu hanya stress.

 Perlu difahami bahawa kemurungan adalah penyakit mental yang melibatkan gangguan pada fungsi otak hingga menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang, seterusnya mengakibatkan gangguan bagi menjalani aktiviti seharian dengan baik. Individu yang mengalami masalah kemurungan dapat diperhatikan keadaan mereka yang sering bertindak secara tidak rasional, tidak mampu mengawal emosi, berasa diri dipinggirkan dan beranggapan individu sekeliling tidak memahami mereka.

Kemurungan cenderung membuatkan diri mudah berasa letih walaupun tidak bekerja berat serta sukar mendapatkan tidur yang lena. Kesannya membuatkan individu rasa tidak bertenaga. Simptom utama kemurungan adalah berfikiran negatif yang dapat merosakkan pemikiran jika tidak mendapat sokongan dan tidak dirawat lebih awal. Individu yang mengalami kemurungan juga, cenderung untuk membunuh diri.

 

Sebenarnya individu yang mengalami masalah kesihatan mental atau gangguan mental jarang sekali mahu mengaku mereka sebenarnya berada dalam keadaan murung. Ini kerana terdapat segelintir masyarakat yang melabel dengan gelaran yang tidak sesuai pada pesakit ini.

Tekanan atau stres adalah perasaan yang dialami oleh individu yang berada di bawah tekanan mental ataupun tekanan emosi yang terlalu berat. Biasanya tekanan ini dicetuskan oleh sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan yang dialami oleh individu berkenaan secara peribadi. Tekanan ini memberikan bebanan berat kepada individu hingga membawa kepada perasaan yang tidak dapat dibendung olehnya.

Contoh tekanan yang biasa dihadapi adalah belajar. Semua orang pasti ada pengalaman tersendiri apabila berdepan tekanan belajar terutamanya apabila bakal menghadapi peperiksaan. Perasaan berdebar, tidak dapat dielakkan. Sama juga apabila ada tugasan seperti pembentangan kajian. Pasti kita berasa gugup. Ketika itu tekanan kian memuncak namun apabila selesai tekanan akan hilang dengan sendiri.

 

Begitu juga dengan rutin pekerjaan seharian. Ada isu yang sangat mencengkam emosi. Namun apabila isu itu berjaya diharungi perasaan individu akan kembali tenang. Tekanan biasanya mudah diatasi dengan mendapatkan motivasi ataupun kata-kata semangat. Cara itu membantu individu menjadi lebih ceria dan bersedia menghadapi apa jua cabaran.

 Secara fizikalnya apabila menghadapi tekanan, individu mungkin sukar mendapat tidur yang nyenyak, tidak berselera makan serta menghadapi ketegangan otot termasuk sakit kepala dan sakit perut. Tekanan atau stres yang teruk boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan masalah kesihatan yang serius.

Individu yang mengalami kemurungan kebiasaannya memilih untuk berdiam diri dan memendam perasaan terlalu lama sehingga tidak mampu dibendung. Kemurungan ini sukar dirawat selagi individu berkenaan menafikan keadaan dirinya dan tidak bersedia untuk menghadapinya bagi memulihkan keadaan.

Oleh itu, kita perlulah disedarkan bahawa semua pihak perlu bertanggungjawab membantu individu yang berada dalam krisis gangguan mental. Mereka tidak boleh dibiarkan tetapi ahli keluarga ataupun rakan perlu membawa mereaka bertemu doktor atau pakar psikiatri secepat mungkin.

Sekian, terima kasih.

Featured post

TAKWIM PELAKSANAAN PENTAKSIRAN PSIKOMETRIK SESI 2023/2024